Mengambil nafas baru : NEW Blog

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang..

Alhamdulillah, atas desakan dan kesungguhan adik angkat saya ( nun jauh di benua berlainan ) membuat blogspot untuk saya. maka saya dengan berat hati la jugak ( ye la, statistik blog ni da 18 000 ++ ) akan berpindah ke blog baru.

Kenapa? tiada sebab. Cuma, Kajlah dan Walid cakap pakai wordpress buat mereka tension dan malas nak buka blog saya ( saya pun tak faham kenapa )

Tak kisahlah, yang penting dapat berkongsi cerita,idea dan nasihat.

Wallahualam. Salam

**** ini blog baru saya :  KERANA CINTA ( II )

Say NO to bonceng !!

bannerbonceng2

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) mengambil langkah proaktif bagi mencegah gejala sosial dikalangan mahasiswa dengan menubuhkan Badan Bertindak UTM Zon Larangan Bonceng.

Badan bertindak ini bertujuan membenteras gejala bonceng dikalangan siswa-siswi yang bukan mahram yang berleluasa sekarang. Menurut Pengerusinya Ismail Bin Sirajudin, Badan bertindak ini akan mengumpulkan 10,000 tandatangan pelajar selain mendapatkan sokongan dari pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pensyarah-pensyarah, Pengetua-Pengetua Kolej, Dekan-dekan Fakulti, Pihak keselamatan, Pusat Islam UTM dan jika perlu akan dirujuk ke peringkat Mufti Johor bagi menjayakan penguatkuasaan ini.

Menurutnya lagi, gejala membonceng dengan bukan mahram ini memberi imej buruk kepada pelakunya sahaja malahan kepada masyarakat kampus keseluruhanya. Kes gejala sosial agak meruncing di kampus ini sehingga menyebabkan kematian, merujuk kepada kematian seorang siswi baru-baru ini

sumber : http://utmsayno2bonceng.blogspot.com/

Pesanan dari saya : UTM bloggers!! yok tampal banner ini di blog kalian tanda sokongan kepada kempen ini ..   :)

Damai

(Penulisan ini di tulis pada 9 May 2009 – sudah sebulan usianya)

Setiap manusia pasti pernah melalui satu saat yang sulit, kadang-kadang bisa melelahkan jiwa bahkan jika jiwa tidak mampu mengerti dan memahami sematang-matangnya,maka  pasti jua makin menjauh dari Illahi.  Saya bukan seorang yang pandai menukilkan kata secara tepatnya, tetapi hati ini ingin sekali meninggalkan sepatah dua bicara sebelum saya meninggalkan blog ini pada satu tempoh yang agak lama bagi saya.

Allah swt sering kali melamar, terkadang dengan lamaran  ringkas dan terkadang dengan risikan yang agak berat. Ikhlasnya, semakin berat lamaran, semakin saya bertaaruf denganNYA, semakin saya nampak kebesaran diriNYA dan semakin saya menyedari peri pentingnya kebergantungan kepada DIA serta saya sudah mula mengenali HAKIKAT DIA dengan kesemua  Asma ul Husna NYA. Malu!! Betapa tidak, selama ini bibir petah menghafal alunan Asma ul HusnaNYA, tetapi,tidak benar-benar memaknai dengan mata hati hakikat keagungan dzatNYA. Di dalam solat, kita bertakbir, “ ALLAH HU AKBAR”. Sedang hati tidak gentar merasai keBESARanNYA malah terkadang menyebutnya kerana itu semata-mata  diperlukan didalam solat.Bukankah hati orang mukmin itu akan bergoncang hebat apabila mendengar namaNYA?  Jadi,kemana hilangnya rasa kegentaran itu? Pokok pangkalnya, adakah rasa gentar itu sudah hilang dek kerana diri yang belum sempurna bergelar mukmin? Ah ! Menangis lagi. Mukminkah saya?

Di saat saya merasa lemah, acapkali terputar-putar kata-kata sahabiah kepada diri ini;-

Bagaimana Hisma Tersayang  selalu SMS kepada saya bertanya, “ Bunda Ena,Hisma sedih,macam mana nak jadi kuat macam bunda “

Bagaimana Sakinah Tersayang  selalu mengadu ala-ala menyoal, “  Ena, aku mampu ke nak handle diorang sensorang kat sini? Aku tak sekuat ko. Ko duduklah sini, aku sanggup bayar sewa bilik ko”

Bagaimana Kak Hasni Tersayang  di saat-saat tertekan akan berkata, “ Ena, bagi sikit aura kuat ena..”

Bagaimana Kak Fizah Tersayang yang sering memberi SMS mengejut berkata, “ Ena,bukan mudah rupanya untuk menjadi sekuat ena..”

Bagaimana Hanisah(syauqah)  Tersayang pernah berkata, “ Mutiara ni kuat ..macam mana ya?sebab ada cengkerang eh?”

Bagaimana Salliana  Tersayang  di waktu kelelahan cuba mencari tips “ Bagaimana nak kuat Ena? Bantulah Yana.. “

Bagaimana Syazana Tersayang  selepas menceritakan permasalahan, di hujung penutup cerita pasti dan pasti akan berkata dengan penuh bersemangat dan muka yang bermotivasi., “ Nak jadi kuat macam Kak Ena!!! “

Bagaimana Sunah (Angah) Tersayang pada awal-awal waktu pekerjaannya berkata, “ Along.. Angah tak kuat.. “

Bagaimana Kak Jun Tersayang (madam) pernah memujuk saya , di saat saya bertanya, ‘ mampukah ena kak jun?’ dan dia menjawab..“ Ena, akak yakin ena mampu,,ena kuat.. malah lebih kuat dari akak..”

Bagaimana Faezah Si Anakanda Tersayang pernah berkata di waktu saya begitu risaukan kesihatan mereka berada di bawah terik matahari pada tempoh yang lama di KPSD, “ Bunda jangan risau, anak bunda mana leh jadi lembik ..kena jadi kuat mcm bunda…”

Bagaimana Asma Tersayang bereaksi di saat saya menceritakan pengkhabaran pedih yang saya baru terima di saat saya bergelut dengan buku di library, dengan muka yang terperanjat mendengar berita itu lantas berkata , “ ena, kalau kita jadi ena, dah lama dah kita teriak(nangis).. mesti tertekan hyper..kuatnya ena..”

Bagaimana Kak Noor Aini Tersayang sering memandang saya dengan pandangan yang sukar saya fahami lalu dia berkata, “ Ena tau tak ena ni kuat dan tabah? Macam mana nak belajar jadi macam tu?”

Bagaimana Sobrini Tersayang pernah berkata, “ Ena selalu dengan madh’u  ena kat kolej, tapi kami yang kat rumah ni pun madh’u ena juga, Oni tak sekuat ena… bantu dan tegurlah Oni, Ena.. tegurlah kami.. kami mahukan tarbiyyah dr ena..“

Bagaimana Sayyidah Nafisah Si Anakanda Tersayang sering berkata.. “ Cha nak jadi kuat macam bunda..“

Dan ada beberapa lagi, yang saya tidak berniat untuk menceritakan semua. Ia menambahkan sesak di hati saya. Saya tak tahu apakah gelaran hina yang sesuai untuk saya gambarkan diri saya memandangkan saya telah membuat sahabat-sahabiah tertipu dengan diri saya. Hakikatnya saya tidak kuat, saya hanya hambaNYA yang lemah, yang tak terlepas dari gundah dan pilu, tak terkecuali dari tangis dan sendu.  Apabila saya mengingati kembali kata-kata sahabat, saya jadi malu sendiri, melihat diri ini dengan kaca mata yang penuh jelek.

KUATkah saya?? Tidak, sahabat-sahabat, saya pacalNYA yang hina,dhoif penuh kelemahan. Malah,saya menyakini, sahabat-sahabat lebih kuat dari saya Cuma mungkin kalian tidak menyedarinya..

Jangan cari kekuatan dari saya, kerana saya tidak mampu malah tidak kuat.. Benar,ini bukan gurauan,bukan untaian kata kiasan,tapi inilah hakikat sebenar saya seoarng hamba..

kerana apa saya bisa berbicara begitu?

Kerana.. Hanya Allah yang  mengetahui betapa lemahnya ena..

Kerana.. Hanya Allah yang mengetahui betapa laju air mata mengalir memohon kekuatan dari Yang maha Kuat

Kerana.. Hanya Allah yang mengetahui betapa kerap saya merayu dan mengemis pertolonganNYA..

Kerana.. Hanya Allah yang mengetahui sejauh mana diri ini memohon dipujuk dengan khabar gembiraNYA

Kerana.. Hanya Allah yang mengetahui betapa sering saya meminta di beri pintu Redha,agar saya mampu keluar dari kesedihan atas kehilangan sesuatu yang fatamorgana cuma. Agar saya mampu keluar dari rumah sendu dengan melepasi pintu Redha, kerana saya tahu, di balik pintu itu terhampar padang ketenangan dan tasik qanaah.

Kerana.. Hanya Allah dan hambaNYA bisa mengetahui hakikat segala pinjaman yang di beriNYA. Malah iman yang TERSANGAT cetek ini juga pinjaman hidayahNYA. ..

Jadi usah menyangka saya kuat,pohonlah dari Allah, kerana kekuatan saya hanya fana, tetapi kekuatanNYA hak milik abadi.

***

Selama 3 bulan ini,saya benar-benar di uji,terlalu banyak lorong yang perlu saya pilih. Lalu diri berkata, susunlah lorong-lorong itu mengikut Fiqh Awlawiyyatnya. Ah ! memang mudah berbicara,melaksanakan itu amat payah. Seolah-olah di luah mati emak, di telan mati bapa. Saya tidak sanggup melukakan yang di sini , saya tidak sanggup menegcewakan di sana, saya tidak mahu timbulkan salah faham di situ, saya tidak mahu yang di sinun menjeruk rasa,saya.. saya.. saya.. Ah! Saya buntu, Fiqh Awlawiyat sudah memberi jawapannya, tetapi hati amat sukar untuk menerima,andai saya bisa memilih untuk TIDAK memilih kesemuanya,pasti hati akan menjadi senang, tetapi tuntutanNYA menggesa diri untuk sentiasa bergerak, bukan berhenti di persimpangan pelbagai lorong lalu berdiam diri.

Saya cuba bertegas dengan prinsip diri, memohon yang di sinun bisa memahami,namun terpaksa akur menerima arahan pulang ke rumah dengan tergesa-gesa, dan di sana akhirnya mereka sudah punya asbab,alasan dan bukti yang membuatkan saya tidak mampu untuk lari. Balik ke sini saya di hadapkan pula dengan lorong-lorong yang pelbagai dan akhirnya saya termangu sendiri.

Saya mengakui, saya jarang bercerita permasalahan (cabaran-cabaran) yang sering saya hadapi, Dulu saya memang suka mencari sahabat untuk bercerita dan meluah, tetapi ada sesuatu yang merenggut jiwa saya dan akhirnya membuatkan saya jadi jarang untuk bercerita kepada manusia,saya masih ingat waktu itu,saya tahun 2 semester 1..saya menceritakan kepada seseorang nun di UIA, tiba-tiba dia mencelah dan memberi pandangan, tetapi kelihatannya dia tidak begitu faham apa yang saya sampaikan, dan saya berkata “ Hm,bukan begitu yang cuba saya sampaikan..hm,xpe la kalau macam itu,saya memang tak pandai bercerita,akhirnya awak pun pening dan salah faham..maaf..” dan kemudian dia membalas sms saya “ Permasalahannya bukan Nurul yang tidak pandai bercerita tetapi,Nurul sudah salah mencari tempat mengadu, saya tidak sempurna,maka saya tidak akan memahami perasaan Nurul sesempurna yang Nurul rasai.. Itulah namanya manusia,pasti akan ada kekurangan,saya hanya hamba,tetapi saya yakin,hanya Allah yang mampu memahami sepenuhnya apa yang Nurul rasai.Dia maha sempurna,berceritalah kepada DIA,pasti Nurul tak kecewa..tak macam bila kita mengadu pada manusia,kadang-kadang menambah kecewa dan tekanan jika mereka salah menafsir..macam yang Nurul rasa tadi pada saya.maaf saya tak mampu menjadi pendengar yang baik untuk Nurul sepertimana Nurul sentiasa menjadi pendengar yang baik untuk saya.” Ada sedikit rajuk di situ..

Benar seperti apa di kata,Dia yang abadi sedang menanti,kenapa masih mencari yang tidak mampu mengerti sepenuh hati. Dari psikologinya, sememangnya manusia memerlukan orang di sekeliling,benar, saya tetap bercerita permasalahan ringkas saya kepada sahabat-sahabat, tetapi ada masanya- ada jenis2 permasalahan saya mengambil langkah untuk mengadu kepada Dia sahaja. Segalanya diluah kepada DIA.. Dan itulah yang saya lakukan. Memohon petunjuknya atas permasalahan ini selama 3 bulan,merayu-rayu..tetapi saya seronok.. damai dalam tangis, bahagia dalam sendu..nikmatnya sukar untuk saya definisikan..

3 bulan saya menanti, acap kali di hasut sang durjana supaya berhenti berharap,supaya berburuk sangka, supaya berputus asa, tetapi alhamdulillah saya tidak berganjak dari usaha dan pengharapan, pendirian saya satu- Allah maha mendengar,maha penyayang dan maha mengasihani,dia akan membantu kita selagi mana kita memohon dari nya..saya teguhkan diri dengan pendirian itu dalam memohon jawapan..hadapi dengan solat dan sabar.. itu firmanNYA..dan saya menyakini firmanNya itu..

dan akhirnya di saat-saat  waktu kritikal ini, Allah tunjukkan lorong yang benar untuk saya pilih, sesuai dengan jawapan awlawiyat saya tetapi dengan keadaan atma yang berbeza,tidak lagi berkecamuk seperti dahulu. Saya redha jika ini keputusannya, walaupun hati sedikit risau pada pandangan yang di situ,di sana, di sinun, di sini.. tetapi biarlah,ini kan hakikat manusia, kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang,(Finally, Komander Yakuza, I have to admit, SILENCE IS GOLDEN ) Cukuplah jika saya benar-benar mengikut petunjukNYA..dan tidak mendatangkan murkaNYa..

Asykurulillah Ya Allah atas pertolonganMU..

Asykurulillah Ya Allah atas pemberian pertunjukMU..

Kini di tengah2 persimpangan pelbagai lorong ini,saya harus akur untuk memilih lorong itu..

Lantas ku susun langkah rapi menuju ke sana..

Pasti ada perca hikmah dan bahagiaNYa di bumi kulim itu..

Tetapi entah kenapa air mata mengalir laju mengiringi saya di saat melangkah keluar dr markas tarbiyyahku itu (bilik asrama saya)..malah ia makin laju ketika saya di dalam teksi menuju ke Seri Putri..

P/S :

  • Saya terkilan kerana tidak mampu menyambut dan menemani permata-permata hati(the 4 of them) saya yang baru lahir ke dalam keluarga jalinan akidah kami.
  • Saya selalu tertanya-tanya apakah dugaan yang akan Allah berikan kepada kami lantaran teramat sayangnya saya kepada mereka. Saya menyakini,Allah pasti menguji kita dengan ape yang kita sayang . Dan kini saya sudah nampak, saya dipilihNYA untuk tidak menemani mereka di saat mereka amat perlukan sokongan. Hanya doa di penghujung malam yang mampu saya berikan. Saya serahkan kepada Allah yang maha baik untuk menjaga mereka sebaiknya dan sesuai dengan keperluan diri mereka.
  • Harus faham,permata hati di atas tidak termasuk dalam lorong-lorong yang perlu saya pilih. Masih ada banyak awla lain yang perlu saya dahulukan. Kesedihan tidak dapat menemani mereka hanya ibarat denai, berbanding lorong besar yg gelap yang saya tidak pasti apa di penghujungnya.

Erti Bahagia

Mencari dan mencari,apakah erti bahagia di hati. Bukan cuba beretorika,bukan jua cuba keluar dari batas kebiasaan manusiawi, malah ini satu fitrah insani yang akan ada di setiap naluri. Mencari bahagia, itulah impian setiap hari yang di lalui. Tetapi pendefinisian sebagaimanakah bahagia itu wahai diri?

Dunia terus berputar,menggelintar penghuni pelusuk alam maya mencari erti keindahan bahagia di hati. Manusia cintakan kesempurnaan, manusia cintakan kecukupan , dan manusia tanpa silu mengejar ketertinggian taraf kehidupan. Benarkah,kesempurnaan mengundang ketenangan? Tenangkah dikau wahai nafsuku?

Andai di ukir bahawa bahagia itu milik dia yang ketawa sepenuh hati, lantas berbahagiakah si dia yang ketawanya di iringi syaitan durjana? Andai di nukil bahawa derita itu milik dia yang menangis,lantas menderitakah si dia yang menangis,merintih dan terhenjut-henjut bahunya di hadapan PenciptaNYa? Menyelusuri kisah-kisah manusia terbilang di zaman silam, kisah Imam-imam tersohor dalam peradaban islam yang kebanyakan dari mereka mengambil langkah untuk beruzlah dan menyendiri, jauh dari hiruk pikuk manusia, mereka seolah-olah terpinggir,tetapi hakikatnya tidak begitu,mereka bahagia dalam kesunyian dari cacamerba kejahilan. Begitu sukar untuk diterjemah dengan hati apakah makna sebenar sebuah kebahagiaan, tetapi yakinilah manusia tidak akan pernah berhenti mengejarnya selagi ia tidak di kecapi.

Andai hidup sekadar untuk mencari tanpa ada keinginan untuk menyedari,maka apalah ertinya di sisi? Kita kerap cuba menggapai lakaran indah pelangi nun di balik sana, tetapi memijak-mijak ketenangan rerumput hijau di bumi. Berapa ramai di antara kita yang mampu menbuka mata hati,menyedari hakikat keberuntungan diri. Bukankah bahagia itu abstrak sifatnya, ada bahagia dalam luka, ada senyum dalam sendu, ada ketawa dalam esakan,ada qanaah  dalam kesempitan, ada pemaaf dalam kemarahan, ada zuhud dalam pemberian, ada keikhlasan dalam pengorbanan, ada pengorbanan dalam perjuangan, ada rasa syukur dalam kegagalan, ada pelbagai kebahagiaan dalam pelbagai kisah yang berlaku dalam hidup kita.

Kita acapkali menjulang tinggi kejayaan,kemewahan,kedudukan lalu meminggir sepi setiap saat sedih yang sebenarnya bisa memberi  peluang untuk kita menjadi bahagia.  Indahnya perasaan andai menjadi seorang yang pemaaf,dia bersih dari  dendam  dan tenang dari hasad dengki, betapa indahnya juga perasaan andai menjadi seorang yang sentiasa berkorban, dia penuh dengan kebaikan hati dan jiwanya subur dengan  sifat ithar, indahnya perasaan andai menjadi dia yang di uji lantas terus berlari mendakap erat Tuhannya, hatinya penuh dengan kerendahan dalam pengharapan dan tenang atmanya pabila dipujuk Allah.  Kita bisa bahagia selagimana kita MAHU mengerti dengan mata hati hakikat diri insani yang perlu berpaut rapat dengan Illahi. Kita tak akan bahagia tanpa Dia. Bahagia itu rahmat dan berkat.  Bahagia itu milik Yang Satu,untuk semua. Ada yang kekal,ada yang sementara. Ia berbeza kerana kita berbeza.

Harus jiwa mencari bahagia. Betapa jauh harus pergi, derita sehebat apapun, biar sendiri mengerti. Manusia yang hidup semata demi diri, takkan pernah mengenal rasa cinta hakiki. Biar ditinggal jauh, biar takdir terus menari, hari esok pasti suci menanti… kerana Dia tidak akan pernah menzalimi..

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati

Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani

Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang

Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tidak alpa
Bila sihat tidak lupakan Tuhan

Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan

Semua insan kan mengerti
Maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki

Ku terima lamaranMU

solat

Allah melamar lagi..

Meminta bukti di hati ..

Ku terima lamaranMU  Ya Allah..

Aku menerima lamaranMU dengan Redha..

selagi mana maharnya adalah cinta dan perhatianMU…

Selagi mana Kau berikanku kekuatan dalam melangkah dan bertingkah..

Maka setulus hati, ku pujuk diri untuk redha dan ikhlas menerima lamaranMU..

Bantulah aku Ya Allah dalam menerima lamaranMU..

Pujuklah aku Ya Allah, di setiap saat ku meminta padaMU..

Hanya Engkau yang memberikanku bahagia dalam sunyi aku bersujud..

~ senyum dalam tangis ~

Peringatan bagi yang lupa

Balai cerap UTM 6.45am

Tanbihul Ghafilin ~ Peringatan buat yang lupa (ms 370)

1. Siapa yang pagi-pagi susah memikirkan dunia, maka ia pagi-pagi telah murka  Allah kepadanya
2. Siapa yang mengeluh kerana ditimpa musibah, maka ia mengeluhkan Tuhannya.
3. Siapa yang tidak hirau dari mana datangnya rrezkinya, maka Allah tidak hirau dari pintu mana ia akan masuk neraka.
4. Sesiapa yang berbuat dosa sambil ketawa dia akan masuk neraka sambil menangis
5. Sesiapa yang sibuk memuaskan nafsu syahwat semata-mata, maka Allah akan mencabut daripada hatinya takut akan akhirat.
6. Sesiapa yang merendah kepada orang kaya kerana kayanya, maka selalu terbayang di ruang matanya kemiskinannya.

Mencari erti sebenar

ini nota saya

ini nota saya

Seusai menelefon Ma di rumah,tangan saya terus mencapai Buku anatomy dan physiology saya. Buku itu kejap di pegangan saya. Merenungnya. Lama.  Aah ! Persoalan-persoalan ngeri itu timbul kembali, menujah-nujah minda sepertinya memohon di beri sedikit pencerahan dari akal logik saya,wahyuNYA dan sabda Baginda.

Akhirnya tangan saya menerkam  Kitab tebal Sejarah Anatomi Greek . Meneliti dari baris ke baris,dan di dalam hati merayu-rayu memohon moga bertemu jawapan yang selari dengan kehendakNYA. Maka waktu yang seharusnya saya habiskan untuk menghafal tulang-tulang  yang pelbagai digunakan sepenuhnya membaca berulangkali sejarah manusia-manusia agung pencetus ilmu Anatomy. Balik ke asrama saya teruskan dengan mencari maklumat-maklumat tambahan di internet hingga sesak tab2 di firefox. Mengapa  Fazrena? Macamlah soalan ni akan keluar dalam Final Exam nanti.. Ahh!! Pemikiran sekular itu keluar kembali!! Untuk exam semata kah saya belajar? Saya biarkan persoalan itu mati sebentar. Bukan sekarang masa yang terbaik untuk saya mengulasnya.

Saya sedar tak ramai akan baca buku-buku sejarah sebegini. Barangkali sekilas pandang tak terdetik untuk diteliti. Pernah saya berkongsi bebanan persoalan yang mengkabut jiwa dan minda saya ini kepada seseorang. Akhirnya tiada jawapan yang keluar melainkan :-

Ena, kita ada banyak lagi permasalahan yang perlu difikirkan berbanding dengan persoalan rumit awak ini. Tolonglah jangan sempitkan pemikiran.

Saya termangu. benarkah saya meyempitkan pemikiran? Walhal saya ingin meluaskan makna ilmu itu seluas-luasnya agar tidak memenjarakan ilmu-ilmu didada saya hanya atas desakan Peperiksaan. Lupakah manusia bahawa Bapak Socrates pernah berkata :- The only thing I know is that I know nothing. Dan akhirnya saya membuat keputusan untuk mencari sendiri. Pengkajian dhoif saya dimulakan dengan mencari asbab musabab bagaimana ilmu ini mampu tercetus. Saya cuba kembali meneliti sejarah keagungan tamadun silam yang mengangkat ilmu anatomi-perubatan ini sebagai satu cabang imu yang hebat di waktu itu.

Saya tertanya-tanya, mengapakan sejarah Anatomy tidak dimasukkan ke dalam silibus perubatan? Apakah sejarah ini tidak langsung membawa kepentingan? Terngiang-ngiang  George Santayana pernah mengingatkan :-  Sesiapa yang melupakan sejarah,pasti akan mengulangi prilaku sejarah lepas. Nah! Betul bukan,sejarah itu teramat penting. Jadi bagaimana kita mampu belajar dan meneruskan pembelajaran selagi kita sendiri masih kabur jalan sebenar dan hala tuju sesuatu cabang ilmu. Bisakah jika saya katakan bahawasanya kita sekarang belajar atas tuntutan komersialisme-materialisme-sekularisme berbanding daripada tuntutan the desired to excel dan tuntutan pengabdiaan dalam menggapai redhaNYA? Salahkah tanggapan saya apabila saya katakan budaya taqlid buta ini menerjah setiap ceruk ilmu baik ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah? Kata-kata Cikgu Azmi saya sambut dengan anggukan berkali-kali :- Pelajar sekarang hanya belajar mengutip ilmu,simpan dihafalan dan kemudian di buang di medan peperiksaan, sesudah itu ilmu hilang begitu sahaja.

Kitab tebal Sejarah Anatomi Greek saya mulakan dengan Hippocrates, (Father of Medicine), saya selalu mengkaji perihal manusia yang memperkenalkan Hippocratic Oath ini. Andai diteliti dari sudut perubatan, seharusnya tiada penafian lagi bahwasanya Hippocrates telah banyak menyumbang walaupun dari sudut perubatan moden banyak ideanya yang tidak lagi diterima pakai. Bukan perihal sumbangan yang ingin saya kisahkan,  tetapi yang menarik minat saya adalah Hippocrates merupakan salah satu manusia yang menolak unsur-unsur  karut dan tahyul sebagai punca sakit. Seharusnya ini adalah suatu yang sangat besar dan kontradiks di zaman itu lantaran banyak kepercayaan sakit itu diakibatkan kemurkaan Tuhan dan sebagainya. Maka atas dasar itu Hippocrates berusaha mengesahkan segala masalah kesihatan didasarkan kepada pembuktian sains. Nah ! Atas dasar pendirian iini lah yang menyebabkan tercetusnya ilmu anatomi dan perubatan.

Tampak mudah?

Tidak semudah itu di mata saya. Saat idea sebegini muncul, maka dalam diam segala yang berlaku menuntut pembuktian berbentuk empirikal lantas segala yang bercanggah dengan pembuktian adalah dianggap  tidah benar. Tuhan? Intuisi? Taqdir? Di mana letaknya? jangan anggap saya suka idea animisme dan tahyul di zaman Greek. Tidak sama sekali kerana saya yakin Islam sendiri punya jalan terbaik menghubungkan ilmu naqliyyah dan ‘aqliyyah yang mula terpisah atau terlebih dahulu terpisah di era Hippocrates.

FALSAFAH DAHULU, BARU ILMU

“A good physician must also be a philosoper. “

Ini kata Galen. Dan saya tiba2 tersenyum. Meneliti perjalanan hidup Galen, memang lebih menarik berbanding tokoh Anatomy yang lain. Fokusnya bukan setakat kepada Anatomy, Physiology malah Falsafah dan logik. Terpengaruh dengan Plato, Aristotle malah paling utama Hippocrates yang dianggapnya sebagai ‘divine’. Andai seseorang memilih untuk menjadi pengikut tanpa berfikir, hidup bakal jadi mudah. Tapi bagi seorang pemikir sejati, bukanlah satu kepuasan menerima tanpa mengerti dengan hati. Maka saya sedikit sebanyak mengerti mengapa Galen bersungguh mengatakan doktor harus jua menjadi seorang filsuf. Namun bukan murah harga yang perlu dibayar, terlalu banyak cabaran yang harus ditempuh sama jua dengan Che Guevara.Lantas tidak hairan namanya tidak pernah mati. Saat kegelapan melanda Eropah, karya Galen deras diterjemah ke dunia Islam dengan kritikan dan pembetulan oleh ilmuan Islam sebagaimana sentuhan Ibn Al Nafis tentang ‘pulmonary circulation’. ( Dr raden pernah menceritakan hal ini sewaktu INTELEK )

Saat Renaissance berlangsung, karyanya menyeberang kembali ke dunia Barat dengan sentuhan yang diperhebat oleh ilmuan Islam. Mengapakah kisah hebat sebegini diabaikan? Bosan sungguh mengikuti satu persatu silibus pendidikan dalam setiap subjek yang saya ambil. Belajar tanpa melorongkan matlamat sebenarnya hanya untuk DiA.  Belajar tanpa makna melainkan insan-insan  terpilih berusaha mencari makna. Mencari makna demi Allah yang pasti…

Perubatan adalah bidang yang menarik. Seperti bermain puzzle, setiap subjek melengkap pemahaman berkenaan tubuh manusia. Sama seperti falsafah. Segalanya berkaitan.Barangkali ada pelajar perubatan yang tidak tahu kalau perubatan itu sendiri lahir dari falsafah. Lantaran desakan akal dan hati manusia yang terlalu ingin mengerti hakikat diri, adakah manusia itu terdiri dari sel atau atom. Andai hanya itu yang melengkap makhluk bernama manusia, mengapakah mayat tanpa nyawa tidak lagi dikatakan manusia sempurna? Apakah peranan roh dalam pelengkap makhluk bernama manusia. Oh lupa… Tokoh Anatomy Greek seperti Herophilus juga yang menempatkan intelektual di akal bukan di hati. Malah ’soul’ manusia ditempatkan di ‘calamus scriptorious’. Itu bezanya di antara ilmuan islam dan cendekiawan Barat. Dan kerana itu saya cuba mencari titik persamaan di antara saya dengan tokoh2 ilmuan islam terdahulu dalam konteks mencari ilmu, sungguh berbeza niat dan matlamat kami. lentur lidah memang mudah,tetapi memaknaikan lisan itu dihati,teramatlah payah

menggapai cahaya dlm mencari erti sebenar

menggapai cahaya dlm mencari erti sebenar

Saya cuba meluah dan memohon pencerahan,memprovok beberapa individu,bertanya asbab sebenar mengapa dia berada disini- menara gading-medan ilmu. Jawapannya mudah :-  Dapatkan ijazah dan bekerja. paling jujur pun pasti akan ada yang berkata :- Untuk ibu dan ayah.  Tidak sedikit juga yang berkata :- saya nak jadi doktor dan engineer. Saya mengeluh, kita benar-benar sudah terikat dengan sekularisme dan komersialisme. Sudah menjadi isi daging dalam kehidupan seharian. Suka untuk saya ceritakan megenai sebuah lagu dari John Lennon iaitu Working Class Hero yang mempertikaikan mengenai penghambaan manusia kepada pekerjaan – paling tepat adalah duit.  Maka sebagai rakyat  British Imperialism atau rakyat yang mendokong sistem British Imperialism, mahu atau tidak, semua rakyat perlu di perhambakan dengan perkerjaan. Hamba-hamba  ini di letak dalam penjara bernama Kerajaan(Government Servants)  dan Industri. Waktu kerja menjadi rantai-rantai  yang perhambakan rakyat.

Perlukah segulung degree itu sebagi satu-satunya penentu seseorang itu boleh menjadi doktor dan engineer? Bila berbicara mengenai ini, saya pasti teringat situasi bapak tersayang. bapak bukanlah engineer,tetapi dia adalah tempat rujukan hampir kesemua engineer yang berada di pejabatnya ( TNB) . Bapak tidak belajar di kuliah ilmu (teori) , tetapi belajar dari medan lapangan (praktikal) , pengalaman demi pengalaman dan usaha pembacaan telah meletakkan kedudukan bapak sekarang. Hanya pekerja biasa,tetapi sentiasa menjadi tempat pemudah cara dan pencerahan engineer-engineer. pernah bapak didesak kawan sepejabat untuk mengambil degree demi menaikkan lagi tangga gajinya, tetapi bapak tidak bersetuju. Namun, Bapak tetap menghabiskan masa mempelajari cabang-cabang ilmu kejuruteraan elektrik  di bilik bacaannya. Saya masih ingat ketika Along saya bertanya lembut kepada bapak :- kenapa masih belajar dan bersusah payah membeli buku? Jika bapak menyukainya,mengapa tidak ke Universiti sahaja? . Saya teruja mendengar jawapan bapak. Memaknai ilmu itu lebih penting : – ini pesan Bapak. Baik,kita abaikan sebentar mengenai cerita bapak saya.

Kita kembali kepada John Lennon. Waima John Lennon inginkan rakyat “think outside the box” dan membebaskan diri dari perhambaan ini. Menjadi pemuzik tidak perlu 25 tahun di bangku sekolah. Menjadi petani tidak perlu 25 tahun untuk jadi petani. Menjadi jurutera tidak perlu 25 untuk jadi jurutera. Rakyat perlu bebaskan diri dari perangkap kerajaan yang mahukan kita membazir masa yang lama dan wang yang banyak supaya guru2 di sekolah dapat di gajikan dan rakyat makin banyak di hambakan sebagai Government servant,ataupun Industri servant .

Masalahnya ena, masyarakat semua sudah memandang degree/master/phd sebagai tiket mendapat pekerjaan. Aku,kalau bukan fikirkan masa depan,tak de masanya nak dok menatap buku ni..aku pun tak faham kenapa perlu belajar subjek ini dan subjek itu,tetapi yang aku tahu,aku kena dapat markah tinggi.

Benarlah teori Einstein berkenaan Society and Personality. Kita terbiasa dengan ‘collective mind of society’. Pandangan alam yang ditentukan masyarakat diangkat sebagai kayu ukur kebenaran. Maka dalam menentu pembentukan peribadi seseorang, masyarakat turut sama mengalun rentak hidup seorang manusia. Saya terfikir,jadi di mana letaknya posisi  pendapat individu yang merdeka dari pengaruh masyarakat? Tidak nampak sinarnya. Namun fikirkan kembali… Sebelum sesuatu budaya berjaya mendominasi sesebuah masyarakat, maka seharusnya ada individu yang muncul membawa pembaharuan hingga berjaya melakar mentaliti masyarakat. Contoh paling mudah adalah kehebatan Rasulullah membina keindahan peribadi kaum Quraisy yang sebelumnya hidup dalam kejahilan. Insan agung seperti ini merupakan obor cahaya yang hebat!!! Contoh yang realistik bagi perubatan pula adalah keberanian Herophilus men’dissect’ cadaver(mayat yang diawet, tapi saya tak pasti mayat zaman Herophilus diawet atau tidak). Maka pembawaan ideologi, pendapat dan fahaman individu ini yang asalnya membawa kepada pandangan alam masyarakat. perlu ada seorang atau golongan minoriti yang menjadi perintis dan berbeza pendapat dengan norma kebiasaan masyarakat. Keadaan inilah yang membawa kita keluar dari comfort zone menuju courage zone. Tetapi manusia sering menghukum,tuduhan mudah- sesiapa yang berbeza dari kebiasaan mereka akan di anggap pesalah dan di pinggirkan. Tepat sekali Teori Einstien ini.

Kaitannya dengan Einstein dan saya?

Menurut Einstein manusia-manusia sebegini semakin kurang. Sudah jarang untuk bertemu dengan mereka yang ebrbeza pemikirannya dengan pemikiran standard masyarakatnya. Jika ada pun,mereka lebih gemar membujuk rasa dan senyap menyepi,takut terpinggir. Apabila zaman berlalu, terlalu banyak yang telah disumbangkan oleh tokoh silam. Maka saban hari manusia semakin selesa, keinginan untuk mencari kebenaran semakin kelam lantaran telah banyak usaha menyinar dan meneroka ilmu dilakukan tokoh sebelumnya. Teknologi berkembang, begitu jua ekonomi. Fikiran manusia? Semakin banyak maklumat namun semakin terpenjara! Saya sesak diasak mempelajari sesuatu tanpa mengetahui susur galur dan asal usul ilmu. Apakah? Mengapakah?

Cikgu Azmi sekali lagi membuatkan kepala saya deras mengangguk apabila mendengar dia berkata :-

Pelajar hari ini sudah hilang rasa berlumba-lumba untuk mendapat ilmu. Tiada pun rasa tertanya-tanya “hari ini Prof nak ajar apa ye? uishh.. tak sabar nya nak pergi kelas ” ..Lesu..Pelajar sudah menjadi robot yang menunggu untuk di programkan..

Pendapat saya? Bebaskan saya dari belenggu belajar mengikut silibus yang tidak lengkap sistem ilmunya. Berikan nyawa pada ilmu ini. Hidupkan roh dalam kembara ilmu ini. Keluarkan rasa seronok dan tidak sabar-sabar (eager) untuk pergi ke kuliah pengajian. Jelaskan sejelasnya akan hakikat dan tuntutan ilmuan islam silam memperkasakan bidang ilmu dalam usaha menggapai redhaNYA, Satukan ilmu naqliyyah dan aqliyyah agar seiring fardhu ain dan fardhu kifayah. Satukan ilmu ini agar akhirnya keredhaan Tuhan yang digapai… satukan untuk Yang satu

Banyak yang ingin ditulis. Ramai lagi tokoh menarik. Tapi cukuplah sampai sini, sekadar perkongsian ringkas… Kenapa saya tiba-tiba menulis begini? bukan cuba menyalahkan sistem, tetapi sejujurnya saya di antara mereka yang salah dalam melorongkan matlamat kembara ilmu ini, sejujurnya saya tidak mampu menghadirkan rasa ghirah untuk mempelajari ilmu kerana DIA, Saya sudah terlalu jauh di dakap erat dengan sistem sekular dan komersialisme yang membutakan mata hati saya hakikat sebenar mengapa saya berada di medann ilmu ini. air mata sering mengalir mengenangkan tiada lagi pembudayaan ilmu di kalangan mahasiswa, kita belajar bukan atas kesedaran ilmuNYa,tetapi atas tuntutan sendiri. Saya tidak menyalahkan,memang benar,ilmu juga penentu survival kita di dunia dan akhirat,tetapi banyak mana dari kita yang menjadikan survival akhirat sebagai batu utama?

Acapkali terdengar keluhan,dan rasa iri sahabat-sahabat terhadap mereka yang pernah bersekolah agama,maahad dan mereka yang mengambil pengajian islam. Acapkali pelupuk mata basah pabila membaca dan mendalami ilmu-ilmu ukhrawi,tetapi aneh ya sahabat,kenapa tidak pula saya menangis apabila meneliti dan mempelajari ilmu fardhu kifayahNYA ( perubatan,engineering,tanaman). Bukankah ini juga ilmuNYA?? atau adakah saya sudah terpengaruh dengan sekularisme? Tidak mampu mengerahkan rasa kerdil ketika mempelajari ilmu teknologi dan sainsNYA..

pictureSalahkah saya berfikir begini? salahkah jika saya sentiasa bertanya kepada guru mengenai perkaitannya ilmu sains dan teknologi dengan dasar islam? sehinggakan mereka seolah menjeruk rasa apabila saya sentisa bertanya apakah dasar dan falsafah islam dalam bidang ilmu kejuruteraan dan perubatan? Salahkah.. Jika saya sering berbeza dari mereka semua? Salahkah saya? saya cuma mahukan perkaitannya dengan DIA, sememangnya saya menyakini ada, tetapi sukar untuk saya mewujudkan perasaan itu berbanding ketika saya berada di kuliyyah2 agama dan tafaqquh di MSI. saya seoalh-olah terpenjara dengan ilmu ini. Ali Bukhari Amir pernah menukilakan :- ” membaca dan ilmu seharusnya mengheret manusia ke arah ketamadunan,bukan kematian” Tetapi saya seolah-olah tidak berupaya mencari titik temu selagi saya tidak jelas akan dasar2 dan prinsip ilmu itu sendiri. Saya seolah tersesat dan terpenjara. salahkah saya??

Saya memujuk hati, membisikkan kalam dari Sheikh Al Ustaimin : -

“  Sesungguhnya dalam apa sahaja bidang ilmu, perkara yang amat penting bagi orang yang ingin mempelajarinya ialah mengkaji dasar-dasarnya yang dapat membantu memahami ilmu tersebut. Pengkajian dasar-dasar sesuatu ilmu akan menjadikan pengkaji itu seorang yang mempunyai tapak yang kuat di dalam bidang ilmu itu. pepatah ada menyatakan bahawa orang yang tidak dapat memahami perkara dasar (ushul), tidak akan kesampaian kepada ilmu itu “

Terangkanlah..

Terangkanlah..

Jiwa yang  berkabut..

langkah penuh dosa ~

Tinta Medical Electronic Student,

FKE UTM Skudai

..

Surat-Surat perempuan Johor

Bismillahirrahmaanirahim..

Dalam sesak menelaah pelajaran dalam musim peperiksaan yang semakin hampir, sempat lagi mencuri masa menjernihkan minda membaca karya Faisal Tehrani. Semakin menelusuri karya-karyanya, semakin tertarik untuk terus memahami mesejnya yang unik. Tersentuh pada nukilan SURAT-SURAT PEREMPUAN JOHOR yang penuh mesej menusuk hati. Bukan niat mengulas karyanya, hanya ingin berkongsi moga bisa menambah imu…

Betapa watak yang ditampilkan dalam karya ini tampak sungguh hebat menerusi kaca mata saya. Citra seorang wanita silam yang indah dengan santunnya, kaya dengan keagungan ilmu, bijak mengerti aturan pemerintahan sesebuah negara, sedang mindanya begitu global di saat teknologi belum berpasak. Tertusuk jiwa lantaran wanita hari ini semakin hilang susilanya, malu pada kemelayuannya, hingga menjadi bunga yang layu tanpa harga… Begitukah kita?

Betapa menerusi wahana yang pelbagai, dakwah itu bisa disalurkan. Andai Faisal Tehrani memilih jalan tinta untuk memperjuang agama, apa pula jalan kita sebagai khalifah di muka bumi? Dalam ghairah mengejar ilmu, adakala terlupa segalanya adalah sia2 tanpa niat segalanya adalah demi keredhaan Allah.. Lebih malang andai jalan pencarian ilmu berwarna noda dan kemungkaran. Andai ilmu diumpama cahaya, bisakah cahaya hadir dalam diri yang penuh dosa?

Seharusnya seorang Melayu bangga dengan bangsanya yang kaya dengan citra hebat. Selamanya, selagi seiring dengan tuntutan agama, perjuangan ini harus ditegakkan. Namun, citra diri perlu dimengerti terlebih dahulu. Di mana lebihnya kita? Di manakah  medium terbaik bakti kita dapat dihulurkan? Bisa saja seseorang menjadi doktor perubatan, hebat mengerti aliran falsafah dan pemikiran Islam dan tokoh dalam berpidato demi mengangkat martabat umat. Umat Islam harus punya pelbagai keupayaan. Umat islam juga harus punya pelbagai kepakaran.Kerana kita adalah sebaik2 umat… Setiap dari cabang keupayaan dan kepakaran yang ada pada setiap dari Khaira ummah ini seharusnya dibentangkan keseluruh pelosok dunia untuk manfaat ummah sejagat. Bukankah begitu seharusnya kita? Menjadi pemudah cara bagi setiap insan.Pernahkah kita keluarkan formula hasil dari gabungan keupayaan dan kepakaran yang kita miliki ini untuk menjadi satu strategy  hebat yang membantu usaha penegakan kalimah tauheed di bumi waqafan ini?  Persoalan demi persoalan menujah di minda saya..

Kerana itu, berhentilah menjadi manusia picisan… Hidup dalam kekerdilan jiwa dan minda… Kerana kematian jiwa adalah kematian yang sebenar-benar kematian…

No More

cum

Enough is enough..

So tired..

tired with everything..

and that enough for me..

no more..

fullstop.

.

Kabinet PM Najib

kabinet

Perdana menteri – Datuk Seri Najib Razak

Timbalan perdana menteri – Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Tan Sri Dr Koh Tsu Koon – perpaduan & pengurusan prestasi
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz – perundangan dan Parlimen
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop – Unit Perancang Ekonomi
Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom – hal ehwal Islam

Timbalan-timbalan menteri:

Datuk Liew Vui Keong
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Datuk SK Devamany
Ahmad Maslan
T Murugiah

Menteri kewangan I
Datuk Seri Najib Razak

Menteri kewangan II
Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Datuk Chor Chee Heung (timbalan)
Datuk Dr Awang Adek Hussin (timbalan)

Menteri pelajaran
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Datuk Dr Wee Ka Siong (timbalan)
Dr Mohd Puad Zarkashi (timbalan)

Menteri pengangkutan
Datuk Ong Tee Keat

Datuk Abdul Rahim Bakri (timbalan)
Datuk Robert Lau Hoi Chew (timbalan)

Menteri perusahaan, perladangan dan komoditi
Tan Sri Bernard Dompok
Datuk Hamzah Zainudin (timbalan)

Menteri dalam negeri
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Datuk Wira Abu Seman Yusop (timbalan)
Jelaing Mersat (timbalan)

Menteri penerangan, komunikasi, kesenian dan kebudayaan
Datuk Seri Dr Rais Yatim

Datuk Joseph Salang Gandum (timbalan)
Senator Heng Seai Kie (timbalan)

Menteri tenaga, teknologi hijau dan air
Datuk Peter Chin Fah Kui
Noriah Kasnon (timbalan)

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah
Datuk Seri Shafie Apdal

Datuk Hassan Malek (timbalan)
Datuk Joseph Entulu Belaun (timbalan)

Menteri pengajian tinggi
Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Datuk Dr Hou Kok Chung (timbalan)
Datuk Saifuddin Abdullah (timbalan)

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri
Datuk Mustapa Mohamed

Datuk Mukhriz Mahathir (timbalan)
Datuk Jacob Dungau Sagan (timbalan)

Menteri sains, teknologi dan inovasi
Datuk Dr Maximus Ongkili
Fadillah Yusof (timbalan)

Menteri sumber asli dan alam sekitar
Datuk Douglas Uggah Embas

Tan Sri Joseph Kurup (timbalan)

Menteri pelancongan
Datuk Ng Yen Yen
Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib (timbalan)

Menteri pertanian dan industri asas industri
Datuk Noh Omar

Datuk Johari Baharum (timbalan)
Datuk Rohani Abdul Karim (timbalan)

Menteri pertahanan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (timbalan)

Menteri kerja raya
Datuk Shaziman Abu Mansor
Datuk Yong Khoon Seng (timbalan)

Menteri kesihatan
Datuk Liow Tiong Lai
Datuk Rosnah Rashid Shirlin (timbalan)

Menteri belia dan sukan
Datuk Ahmad Shabery Cheek

Datuk Razali Ibrahim (timbalan)
Wee Jeck Seng (timbalan)

Menteri sumber manusia
Datuk Dr S Subramaniam
Datuk Maznah Mazlan (timbalan)

Perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna
Datuk Ismail Sabri Yaakob
Datuk Tan Lian Hoe (timbalan)

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan
Datuk Kong Cho Ha
Datuk Lajim Ukin (timbalan)

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat
Datuk Seri Sharizat Jalil
Datin Paduka Chew Mei Fun (timbalan)

Menteri luar
Datuk Anifah Aman

A Kohilan Pillay (timbalan)
Datuk Lee Chee Leong (timbalan)

Menteri wilayah persekutuan
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Datuk M Saravanan (timbalan)

Bagaimana MUKHRIZ MAHATHIR boleh terselit pula dalam senarai panjang ini? Bagus,nampaknya saya sudah nampak sedikit output dari komplot 3 penjuru